KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini, negara digemparkan dengan kes pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yang cedera di kepala selepas dipukul dan menjadi mangsa samun, hari ini, Malaysia dikejutkan pula dengan insiden pemain bintang Selangor FC, Faisal Halim yang cedera di muka dan badan dipercayai akibat disimbah asid.

Menerusi perkongsian di laman X daripada Fina Nasrom, wartawan Astro Arena itu memaklumkan kejadian berlaku di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.

Terdapat kecederaan dilihat di bahagian muka, kepala dan bahagian belakang pemain tersebut.

Berdasarkan gambar yang dikongsi kepada Astro AWANI, terdapat kecederaan dilihat di bahagian muka, kepala dan bahagian belakang pemain tersebut.


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian tersebut dan Astro AWANI akan membawakan maklumat lengkap selepas kenyataan media diperoleh. 

Beliau memaklumkan, Faisal kini dirawat di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan kini berada dalam keadaan stabil.

Tambah beliau, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kes tersebut pada jam 5.51 petang pada Ahad.

“Polis Petaling Jaya telah menerima maklumat daripada orang awam melalui panggilan Emergency Response Services 999 memaklumkan pemain bola sepak kebangsaan telah disimbah cecair disyaki asid.

“Kejadian berlaku semasa beliau berada di sebuah pasar raya terkemuka di kawasan Kota Damansara, Petaling Jaya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Beliau juga meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut untuk menghubungi PDRM untuk membantu siasatan. 

Dalam pada itu, media sosial dilihat mula berkongsi gambar insiden tersebut sebaik ia mula tular pada petang Ahad.

Majoriti daripadanya mahu pelaku ditangkap segera dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Bahkan, ramai juga bimbang dengan keselamatan para pemain kebangsaan memandangkan ia adalah kes serangan kedua dalam tempoh tiga hari.

Sementara itu, menerusi hantaran di laman X, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam sekeras-kerasnya perbuatan keganasan terhadap atlet. 


"Saya mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap atlet. No violence in sports!

"Saya meminta @PDRMsia untuk segera mengambil tindakan terhadap pelaku," tulis beliau. 

Sementara itu, Selangor FC menerusi satu kenyataan menegaskan pihaknya memandang serius insiden menimpa pemain sayapnya, Faisal Halim pada petang Ahad.


Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat.

Menerusi satu kenyataan pada Ahad, Selangor FC menyeru penyokong dan peminat bola sepak negara memberi sokongan moral kepada Faisal dan keluarganya.

“Selangor FC menyeru para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal Halim dan keluarganya serta menghormati privasi beliau dan keluarganya pada masa ini,” menurut kenyataan itu.